Menyingkap Perbezaan Penghayatan Tauhid Antara Golongan Awam, Ulama Zhohir dan Ahli Sufi
Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.(Surah Yusof:106)
Seorang tokoh sufi terkemuka Al-Junaid Al-Bagdadi menyimpulkan bahawa majlis yang paling mulia dan paling terhormat ialah majlis yang terdapat di dalamnya perbincangan mengenai bidang Tauhid.
Hujjatul Islam Imam Ghazali menyokong kenyataan di atas dengan catatannya sebagaimana berikut;
Orang-orang yang mempunyai Ilmu Tauhid ini adalah yang paling utama di antara ulama-ulama lain. Sebab inilah Allah Taala menyebut mereka ini secara istimewa pada tingkat yang tertinggi sebagaimana firmannya yang bermaksud:
"Allah telah terangkan bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia yang berdiri dengan keadilan dan disaksikan oleh malaikat dan ahli-ahli ilmu."(Surah Al-Imran, ayat 18).
Oleh itu ulama-ulama Ilmu Tauhid secara umumnya adalah Nabi-nabi, selepas mereka barulah ulama-ulama yang menjadi ahli waris Nabi-nabi".
Tetapi apakah sebenarnya Tauhid itu?
Bicara ini cuba mengajak saudara-saudaraku berkenalan secara yang agak kristis hal-hal yang berkaitan dengan Tauhid ini, pengilmuan dan pemahamannya mengikut beberapa golongan manusia beriman; sikap dan perbezaan penghayatan golongan-golongan tersebut berbanding dengan pendekatan ahli-ahli sufi...insya Allah..
Dari aspek bahasa, sebagaimana yang dijelaskan oleh A-Jurjani serta juga yang dicatatkan oleh Al-Qusyairi,
Tauhid itu adalah "SATU" serta mengetahui pula tentang satunya sesuatu itu.
Al-Tahanawi menjelaskan bahawa;
Tauhid itu dari segi bahasa ialah menjadikan i'tiqad tentang Keesaan Allah.
Manakala pada pandangan golongan sufi pula ia merupakan suatu "makrifat" tentang Keesaan Allah yang tetap bagiNya sama ada dalam hubungan dengan azali atau hadas(baru).
Melalui keterangan dan penjelasan beberapa pemuka ulama di atas, nyatalah bahawa Tauhid itu merupakan suatu pegangan, pengilmuan dan sesuatu yang bersabit dengan penghayatan tentang pengesaan dan Keesaaan Allah Taala.
Pegangan bagaimanakah yang dikehendaki sebenarnya?
Ilmu apakah yang dimaksudkan?
Bagaimanakah rupa wajah Keesaan yang perlu dihayati?
Yang nyata daripada definisi Tauhid di atas, seolah-olah wujudnya pembahagiaan terhadap Tauhid berasaskan golongan mana yang memperkatakannmya. Ini adalah kerana pegangan, kedalaman ilmu dan wajah-wajah penghayatan antara beberapa golongan manusia adalah berbeza-beza mengikut kadar kesedarannya pada maksud beragama dan maksud Keesaan Ketuhanan.
Terdapat di satu pihak apa yang dikatakan sebagai Tauhid Al-I'tiqad iaitu yang diperkatakan oleh kalangan ulama.
Manakala di satu pihak lagi sebagai Tauhid Al-Makrifat yang diperkatakan oleh Ahli Sufiah.
Untuk melihat lebih jauh pembahagiaan Tauhid ini, bolehlah diperhatikan sudut pandangan Al-Junaid Al-Bagdadi yang mengatakan;
Ketahuilah bahawa Tauhid di kalangan manusia terbahagi kepada empat jenis;
Pertama Tauhid golongan awam;
Kedua, Tauhid golongan yang mahir dalam ilmu-ilmu keagamaan yang zhohir;
dan dua jenis lagi ialah Tauhid Al-Khowas yang lahir daripada golongan Ahli Makrifat.
Seorang tokoh sufi yang lain, Yusof ibn Al-Husayn membahagikan Tauhid kepada tiga kategori; iaitu lebih kurang sama dengan apa yang diperkatakan oleh Al-Junaid.
Pertama, ialah apa yang diistilahkan sebagai Tauhid Al-Ammah
Kedua, Tauhid golongan yang mantap dengan ilmu keagamaan yang zhohir dan
Ketiga, ialah Tauhid al-Khossah.
Tidak hairanlah kita akan menemui pembahagian Tauhid ini seperti yang tercatat dalam Kitab Kasful Asror sebagaimana berikut;
"Adapun orang yang mengatakan(memahami) kalimah Tauhid itu atas tiga bahagi iaitu;
Martabat orang Mubtadi,
Martabat orang Mutawassit dan
Martabat orang Muntahi"
Sudut-sudut pandangan sebagaimana yang diketengahkan di atas, secara jelas memperlihatkan wujudnya pembahagian yang berbeza sekitar pegangan, darjah keilmuan, pengalaman beragama dan penghayatan Tauhid, yang pada umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori yang utama;
Pertama, Tauhid yang bersifat zhohir yang dipegang dan dihayati oleh golongan awam dan orang yang mantap dalam bidang-bidang ilmu keagamaan yang zhohir, dan
Keduanya, Tauhid Al-Khowas dan Al-Khossah yang dihayati oleh kalangan ahli sufi..
Berhubung dengan Tauhid yang bersifat zhohir, maka dapatlah diperhatikan bahawa ia merujuk kepada suatu kategori i'tiqad terhadap kewujudan Keesaan Allah dan pengertian membezakan Allah daripada seluruh makhluk ciptaanNya dari aspek Zat, pelbagai Sifat dan pelbagai Afa'alNya. Ini memaknakan bahawa bahawa seseorang sudah melaksanakan Tauhid bila mana ia telah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat
Wujud
Qidam,
Baqa,
Qiyamahu binafsih(berdiri dengan sendiri)
Ilmu
Hayat
Qudrat
Iradah yang mutlak
Penghidup
Pendengar
Pelihat
Pekata,serta
lain-lain sifat Kesempurnaan yang layak bagi Allah;
dan sekaligus pula menyifatkan makhluk ciptaan Allah dengan sifat-sifat lain yang baharu(hadis),
berubah,
berakhir,
fana serta
lain-lain yang layak bagi makhluk.
Inilah sebenarnya apa yang terkandung dalam Mukholafatahu Taala Lil-Hawaadis. Ia merupakan apa yang diistilahkan sebagai tanzih, kerana pemusatan perbicaraan adalah di sekitar pengertian kesatuan dalam i'tiqad Ketuhanan, iaitu suatu usaha pembersihan Allah daripada sesuatu yang tidak layak pada Allah di samping persamaan dan keserupaan pada seluruh sifat-sifat yang dimiliki oleh makhluk.
Di dalam memahami dan menghayati pegangan sebenar maksud Ketuhanan, wujud pula perbezaan di kalangan individu dalam golongan ini. Yang awam dengan kefahamannya sendiri sehingga langsung berpuas hati sekadar apa yang diluluskan oleh syarak. Mereka tidak mampu menterjemahkan dalam kehidupan seharian, jauh sekali untuk menghayati makna Ketuhanan dengan mendatangkan dalil-dalil akli dan naqli. Tanpa sedar mereka terjerumus ke dalam I'tiqad-i'tiqad yang salah, mempersektukan Tuhan tanpa sengaja sehingga secara terang-terangan terjelma dalam bentuk pengucapan dan tindak-tanduk mereka. Inilah golongan yang menafikan "Ma'bud" yang lain dengan mengisbatkan Allah sebagai sebenar-benarnya Tuhan; tetapi dalam masa yang sama mendirikan sifat-sifat Ketuhanan pada makhluk. Ada lagi yang lebih parah mengi'tiqadkan Ma'bud yang dinafikan dalam kalimah Syahadah ialah menafikan tuhan-tuhan seperti berhala, api, matahari, bulan dan sebagainya; sedangkan bukanlah begitu yang sebenarnya mengikut perkiraan ulama-ulama Mutakallimun.
Dengan kata lain, pada satu pihak, golongan awam ini telah sedar dan percaya kepada wujudnya Allah, tetapi pada pihak yang lain, mereka masih meraba-raba dalam menghayati maksud Ketuhanan seperti yang sebenarnya. Mereka tidak punya ilmu dan kefahaman tentang Ketuhanan ini sebagai yang dikehendaki oleh ulama Mutakallimun.
Golongan Mutakallimun meneroka dengan keupayaan akal fikiran mereka mengkaji dan menyelidiki dengan lebih jauh akan makna Ketuhanan ini. Dengan menetapkan hukum akal, hukum adat dan hukum Ketuhanan, perbahasan tentang makna Ketuhanan ini dikupasi sehingga lahirlah berbagai-bagai istilah dan idea yang mengajak manusia untuk sama-sama mentahqiqkan kefahaman mereka dengan dalil-dalil yang jelas dan nyata berdasarkan Akli dan Nakli. Mereka bebaskan pemikiran mereka dari t'tiqad-i'tiqad yang tidak sebenar dan pemahaman-pemahaman yanga terseleweng. Mereka hayati pegangan dan kepercayaan mereka dalam kehidupan mereka sehingga ianya terjelma dalam percakapan dan tindak-tanduk mereka sebagai seorang yang ahli dan alim dalam Ilmu Kalam atau Ilmu Usuluddin.
Bagaimanapun dari sudut pandangan sufi, terdapat sedikit perbezaan antara tanggapan dan penghayatan Tauhid di kalangan muslim awam dan kalangan yang mahir dalam ilmu-ilmu keagamaan yang zhohir; meskipun kedua-dua kalangan tersebut masih sama-sama berada pada paras yang zhohir. Hal ini dapat dimengertikan dengan jelas bila diteliti sudut pandangan Sheikh Junaid Al-Bagdadi sebagaimana berikut;
"Adapun Tauhid golongan awam adalah merupakan pengingkaran tentang keesaan Allah dengan
penyingkiran pandangan terhadap pelbagai Tuhan yang lain,
bandingan,
lawan,
kesamaan dan
keserupaan denganNya;
berserta dengan tidak melakukan apa-apa terhadap pelbagai tekanan dalam bentuk kemahuan dan ketakutan daripada pihak yang lain daripada Allah.
Tauhid jenis ini memiliki ukuran kemujaraban selama mana ikrar masih kekal.
Adapun Tauhid di kalangan orang yang mantap keilmuaan zhohir merupakan pengikraran tentang Keesaan Allah dengan menyingkirkan pandangan terhadap pelbagai Tuhan(yang lain),
Bersambung............
Sunday, August 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment